Istilah-istilah Hartanah Untuk Pembeli Rumah Kali Pertama

  • 3 years ago
  • 1

Membeli rumah impian adalah satu pengalaman mengujakan, tetapi terdapat beberapa istilah hartanah yang boleh membuatkan pembeli rumah kali pertama terpinga-pinga.

Apabila berkira-kira untuk membeli rumah pertama anda, anda mungkin akan terjumpa terma-terma yang tidak biasa gunakan. Di iProperty.com.my, definisi asas bagi istilah-istilah ini akan membantu dan memberi pencerahan berkaitan beberapa terma dan frasa penting. Berikut adalah panduan cepat dan ringkas kepada beberapa istilah yang mungkin anda temui dalam misi pencarian rumah anda.

1. Deposit

Deposit rumah ialah bayaran pendahuluan 10% daripada jumlah harga belian sesebuah hartanah. Pembayaran ini menjadi isyarat komitmen anda untuk melengkapkan pembelian. Sebagai contoh, jika anda berhasrat untuk membeli sebuah hartanah yang berharga RM 600,000, anda perlu membuat bayaran pendahuluan atau deposit minimum sebanyak RM 60,000.

Hartanah biasanya diukur dalam kiraan kaki persegi. Oleh itu, nilai hartanah ditentukan berdasarkan harga setiap kaki persegi. Pemburu hartanah boleh menggunakan sekaki persegi untuk membuat perbandingan antara harga dan saiz rumah yang berbeza-beza.

3. Pinjaman

Pinjaman daripada bank dapat membantu anda membeli hartanah. Banyak bank yang menawarkan pinjaman perumahan sehingga 90% daripada jumlah harga belian hartanah tetapi itu bergantung kepada kekukuhan kewangan anda. Terdapat beberapa jenis pinjaman yang anda boleh pilih seperti pinjaman tetap (fixed loan), pinjaman separa boleh ubah (semi-flexi loan) dan pinjaman boleh ubah (flexi loan).

4. Skor kredit

Skor kredit anda memaklumkan bank sama ada anda akan membayar balik pinjaman anda. Bank dan institusi kewangan menggunakan skor kredit ini sebagai penunjuk sebelum mereka menentukan kelayakan anda mendapat pinjaman, kadar faedah yang akan dikenakan dan had kredit anda. Setiap bank mempunyai kaedah tersendiri untuk menilai skor kredit anda. Oleh itu, peluang untuk anda mendapat kelulusan pinjaman juga pastinya turut berbeza.

5. Nisbah pembiayaan hutang (DSR)

Nisbah pembiayaan hutang (DSR) ialah nisbah jumlah hutang berbanding pendapatan isi rumah. Bank menggunakan DSR sebagai penunjuk jumlah pendapatan yang anda gunakan untuk membayar hutang atau memenuhi komitmen kewangan. Jika anda ingin memiliki sebuah rumah, DSR anda biasanya tidak boleh melebihi 70% daripada jumlah komitmen anda tetapi itu semua tertakluk kepada bank atau institusi kewangan yang berkenaan. Formula untuk DSR ialah DSR = Hutang / Pendapatan bersih x 100%.

6. Perjanjian Jual Beli (SPA)

Perjanjian Jual Beli (SPA) ialah kontrak bertulis yang mewakili penjual dan pembeli dalam transaksi hartanah. Ia mengandungi kesemua terma dan syarat yang dipersetujui dan mengikat kedua-dua belah pihak semasa transaksi. Ini dilakukan melalui peguam yang akan menerangkan terma-terma kontrak kepada anda. Sebelum menandatangani SPA, pastikan anda membaca dan memahami kesemua terma dalam dokumen kerana anda akan terikat selepas menandatanganinya.

7. Duti setem

Duti setem ialah cukai yang dikenakan ke atas dokumen yang sah seperti perjanjian pinjaman, jualan, pemindahan dan lain-lain transaksi hartanah. Ini termasuk duti setem untuk SPA hartanah anda serta Memorandum Pemindahan (MOT). Kadar duti setem yang dikenakan bergantung kepada harga hartanah.

8. Yuran penilaian

Ini merupakan yuran yang dikenakan oleh bank untuk menentukan nilai hartanah yang anda beli. Penilaian ini akan dilakukan oleh jurunilai berkelayakan dan proses ini diperlukan oleh pihak bank sebelum meluluskan pinjaman perumahan. Yuran penilaian dikira berdasarkan peratusan tertentu daripada harga belian. Contohnya, 0.25% untuk RM 100,000 pertama dan 0.2% untuk baki berikutnya sehingga RM 2 juta.

9. Yuran guaman

Anda perlu melantik seorang peguam untuk mendapatkan bantuan guaman semasa proses pembelian hartanah. Peguam tersebut akan menyediakan semua perjanjian dan dokumen yang perlu dalam pemindahan hartanah. Yuran guaman yang dikenakan adalah antara 0.25% sehingga 1%, bergantung kepada nilai hartanah dan dikira mengikut peratusan daripada harga belian.

10. MRTA dan MLTA

Ini adalah jenis-jenis insurans yang dimestikan oleh pihak bank dan adalah sebahagian daripada pakej pinjaman perumahan anda. Ia bertujuan untuk melindungi nilai hartanah. Insurans Bertempoh Gadai Janji Berkurangan (MRTA) bergantung kepada umur peminjam dan jumlah pinjaman untuk membeli hartanah. Insurans Bertempoh Gadai Janji Mendatar (MLTA) menawarkan pembayaran balik baki pinjaman yang belum dijelaskan dan nilai tunai terjamin pada akhir skim. Baca lebih lanjut tentang insurans hayat pinjaman di sini.

11. Pegangan pajak

Tempoh pegangan pajak biasanya selama 30, 60, 99 atau dalam sesetengah kes 999 tahun. Tanah dipajak atau disewa daripada kerajaan. Ini juga bermakna pemilik rumah perlu memperbaharui tempoh pajakan sebelum ia tamat. Ini memerlukan satu premium, bergantung kepada jenis hartanah. Pemindahan pemilikan mungkin mengambil masa yang lama kerana hartanah pegangan pajak biasanya mempunyai banyak batasan.

12. Pegangan kekal

Tempoh pemilikan untuk hartanah pegangan kekal tidak terhad. Pemilikan tanah adalah dalam bentuk hak milik induk. Ini bermakna proses pemindahan hartanah tersebut adalah lebih mudah tanpa banyak halangan.

13. Hak milik strata

Hak milik strata selalunya dikeluarkan untuk hartanah bertingkat tinggi seperti kondominium, kediaman berservis, apartment dan rumah pangsa. Ciri-ciri yang lazim terdapat pada sebuah hartanah strata (atas tanah atau bertingkat tinggi) ialah kemudahan yang dikongsi bersama semua penduduk seperti kolam renang.

14. Kediaman tidak terjual

Ini merupakan hartanah yang masih belum terjual selepas sembilan bulan menerima Sijil Perakuan Siap dan Pematuhan (CCC) dan Sijil Kelayakan Menduduki Bangunan (CFO).

Sekarang anda faham beberapa terma penting berkaitan dengan pembelian hartanah dan tidak lagi sakit kepala cuba memahami istilah dan perkataan-perkataan pelik yang digunakan oleh ejen hartanah sepanjang proses jual beli. Anda boleh merujuk kepada definisi asas kami ini bila-bila masa saja anda perlu. Sementara itu, kami akan terus mengemas kini senarai dengan lebih banyak terma dan definisi.

Selain itu, gunakan Penunjuk Kelayakan Pinjaman Perumahan kami, LoanCare untuk meningkatkan peluang anda mendapatkan kelulusan pinjaman daripada 17 buah bank. Semoga berjaya mendapat rumah yang anda idamkan!

Compare listings

Compare